Saturday, January 15, 2011

EN-V, konsep masa hadapan





RANGKAIAN kenderaan menggunakan kuasa elektrik yang bergaya selain mengutamakan alam sekitar tidak mustahil akan mendominasi pasaran pengeluaran kenderaan pada suatu hari nanti.
Ini dapat dilihat ketika era permulaan kereta dicipta. Apabila kenderaan kuasa stim telah digantikan dengan kenderaan menggunakan bahan bakar seperti petrol dan diesel.
Malah rekaan terkini seperti inovasi hibrid yang mampu menjimatkan bahan api dan menawarkan pemanduan lebih mesra terhadap alam sekitar semakin mendapat perhatian ramai.
Di Shanghai baru-baru ini, penampilan pertama model kenderaan berkonsep mobiliti bandar, EN-V menjadi perhatian kerana ia dikatakan boleh dijadikan sebagai penyelesaian masalah pemanduan masa hadapan.
EN-V merupakan kereta konsep dua tempat duduk yang direka berdasarkan konsep kenderaan masa hadapan.
Dengan saiznya yang sederhana, ia mampu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas, masalah tempat letak kereta mahupun kualiti udara yang terjejas akibat pengeluaran karbon monoksida.
Rekaannya didatangi dalam tiga model iaitu Jiao (Pride), Miao (Magic) dan Xiao (Laugh) yang digerakkan menggunakan kuasa motor elektrik berkembar dan teknologi penstabilan dinamik berdasarkan GPS bersepadu.
Kuasa tenaga pintarnya diterima daripada bateri jenis Li-ion. Setiap kali dicaj, EN-V membolehkan pengguna bergerak sejauh 40 kilometer.
Mod pemanduannya mudah digunakan kerana ia meningkatkan kepekaan berdasarkan keperluan yang mana amat sesuai untuk pemanduan dalam bandar.
Lagi pula kelajuan maksimum EN-V hanya 40 kilometer sejam.
Bercirikan teknologi masa hadapan, EN-V menawarkan reka bentuk aerodinamik yang lebih bergaya dengan berat keseluruhan hanya 400 kilogram termasuk penumpang.
Ia turut menawarkan pemanduan pilihan automatik melalui sistem terperinci GPS, pengesan laluan jalan dan kamera di bahagian hadapan dan belakang.
Pengarah produk dan teknologi komunikasi General Motors (GM) International Operations, Michael Albano berkata, rekaan EN-V dihasilkan berdasarkan konsep Better City, Better Life yang mengutamakan kenderaan bebas petroleum, pemancaran, kemalangan dan kesesakan.
"Rekaan ini diharap dapat dijadikan sebagai penyelesaian terbaik untuk mengurangkan kesesakan jalan raya mahupun kemalangan di negara-negara besar seperti China.
"Ini kerana berdasarkan kajian, menjelang 2040 sebanyak 1.2 billion kereta akan dihasilkan di seluruh dunia dan 60 peratus manusia akan hidup di bandar raya.
"Pada masa itu, kereta konvensional sedia ada menghasilkan asap yang mampu mengotorkan kualiti udara, masalah kesesakan dan ketiadaan tempat letak kenderaan bakal menjadi mimpi buruk," katanya.

No comments: